Indah Tidak Akan Berputus Asa Biarpun Tersingkir


Salah seorang peserta Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Indah Ruhaila pernah muncul dengan album solo di sekitar tahun 2008. Namun begitu, album tersebut gagal menaikkan nama Indah dalam industri hiburan tempatan. Kini, Indah sedang bersaing dengan peserta-peserta lain dalam merebut tempat untuk menjadi juara bagi edisi kesepuluh Akademi Fantasia.

Mengulas mengenai pengalamannya sebelum ini yang pernah menjadi artis rakaman, Indah menjelaskan pengalamannya bukanlah satu kelebihan untuk dirinya dalam persaingan menjadi juara AF2013.

“Pengalaman saya sebagai artis rakaman sebelum ini tidak menjadi kelebihan untuk saya dalam AF2013 ini. Dalam program ini, semuanya berdasarkan undian daripada penonton dan perkara ini amat berbeza daripada pengalaman menjadi artis dahulu. Saya kena bermula dari bawah semula. Saya harus menonjolkan bakat saya dan harus belajar cara-cara untuk mencuri hati penonton supaya mengundi saya. Tapi sejujurnya, saya tidak fikirkan sangat mengenai undian peminat, apa yang penting adalah persembahan saya,” tutur Indah ketika ditemui di Bandar Enstek, Nilai.

“Saya juga merasakan AF2013 sebagai salah satu landasan terbaik untuk orang mengenali saya. Jika saya terkeluar pada peringkat separuh akhir ini, saya akan anggap itu sebagai permulaan untuk saya memperkenalkan diri saya semula dalam industri hiburan,” ujar gadis yang berusia 26 tahun ini.



Seringkali berada di kedudukan ketiga terbawah pada Konsert AF2013 saban minggu, Indah menyatakan yang dia tidak kecewa apabila mendapat undian rendah.

“Saya tidak kecewa dengan undian saya. Bagi saya, penonton berhak mengundi siapa yang mereka minat. Namun begitu, saya akan gembira jika persembahan saya dapat membuat tenaga pengajar dan barisan pengkritik tetap berpuas hati. Apa yang penting untuk saya adalah memberikan yang terbaik setiap kali konsert,” ulas Indah lagi.

“Apapun, saya akan terus mencuba dan mencuba sehingga saya berjaya mengukir nama sendiri dalam industri hiburan. Saya bermula pada umur saya 17 tahun, walaupun apa yang terjadi selepas ini, saya akan tetap berusaha dan tidak akan berputus asa,” jelas Indah lagi.

Jangan lupa saksikan persembahan Indah dan peserta-peserta AF2013 yang lain dalam Konsert Akhir AF2013 yang dibawakan oleh penaja utama, Samsung. Saksikan mereka secara langsung di Astro Ria pada hari Ahad, jam 9.00 malam!

Sumber : GUA

Percayalah